Khamis, 24 November 2011

MARI BERKONGSI NILAI

SI HELANG DAN SI LEBAH
             Pada suatu hari, Si Helang sedang memerhatikan seekor lebah menghisap madu bunga. Lalu Si Helang berkata dengan sombong, "Hai Si Lebah, kamu dan rakan-rakan bekerja keras untuk mengumpul madu. Sungguh kasihan, kerana tiada siapa yang menghargai usaha kamu itu. Kamu telah mensia-siakan hidup. Mengapa kamu sanggup menderita demi orang lain?."  
            "Lihatlah aku, terbang bebas di udara dengan sayapku yang gagah. Haiwan lain takut padaku. Mereka akan lari dan bersembunyi jika ternampak aku," kata Si Helang lagi. 
                  "Aku tahu kamu mempunyai kuasa dan kemegahan tapi aku berbeza. Aku telah dilahirkan untuk berkhidmat pada orang lain. Aku berasa gembira dan berpuas hati jika dapat memberi sumbangan bagi kejayaan masyarakat ku," kata Si Lebah.


MORAL : Melakukan kebaikan tanpa mengharapkan balasan, sanjungan atau penghargaan adalah satu sikap  yang murni.















TIKUS KAMPUNG DAN TIKUS BANDAR

            Pada suatu masa dahulu, tinggal seekor tikus kampung secara sederhana di sebuah ladang gandum. Pada suatu hari, sepupunya dari bandar datang menziarahinya. Tikus kampung telah menghidangkan bijirin dan buah-buahan. 
              "Adakah ini yang kamu makan setiap hari?" Tanya sepupunya dengan nada sinis. "Marilah ke tempat aku, aku akan tunjukkan kamu kehidupan yang selesa,: kata tikus bandar itu lagi.
            Beberapa hari kemudian, tikus kampung pun mengikut sepupunya pulang ke bandar. Sepupunya telah membawanya ke sebuah rumah besar. Di situlah tempat tinggal tikus bandar.
            Kemudian mereka menghampiri sebuah meja yang dipenuhi makanan. Sebaik sahaja mereka mula makan makanan itu, datang seorang perempuan dan seekor kucing. 
             "Cepat, kejar mereka!" Kata perempuan itu kepada kucingnya. Kucing itu cuba menerkam mereka. Kedua-dua tikus itu lari menyembunyikan diri melalui lubang. Selepas itu, tikus kampung berkata kepada sepupunya, "Ini membahayakan, lebih baik aku balik, di sana lebih selamat dan aman."


MORAL : Bersyukur dengan kehidupan yang sedia ada walaupun serba sederhana.